Dari Jendela 2014

Year 2014

 

 

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Bagi pihak tenaga kreatif laman budaya, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada tatapan khususnya peminat seni Shah Alam. Tahun 2013 telah jauh meninggalkan kita, umpama angin yang telah berlalu. Lewat tahun lalu, pentas laman budaya yang terkenal dengan “pentas seni untuk semua” tidak sunyi dari pelbagai aktiviti yang telah diadakan. Pelbagai warna-warni persembahan memenuhi kalendar aktiviti MBSA di ruang tersebut.
 
Memecah sepi taman tasik Shah Alam, dari showcase muzik, pelbagai gerak tari, persembahan kebudayan pelbagai kaum, pameran buku, seni jalanan, buskers, alunan bait-bait puisi, silat, teater, drumline, perkusi dan pelbagai lagi persembahan ditampilkan di pentas keramat itu.
 
Pada tahun 2014, pelbagai aktiviti seni dirancang oleh pihak MBSA untuk memartabatkan seni budaya di Shah Alam. Pada skala kecil, program Pusat Seni Setempat (PSS) akan berjalan seperti biasa di Laman Budaya dan juga di kawasan Shah Alam yang lain. Terdapat juga program-program yang akan dijalankan secara kerjasama dengan pihak Jabatan Pelajaran, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor, pihak NGO dan persatuan-persatuan seni. 
 
Program yang berskala besar pula adalah seperti Festival Budaya Mahasiswa Uitm-MBSA, Pesta Gelanggang Rakyat, Festival Nasyid, Festival Kesenian Antarabangsa – 7 Negara, Malam Puisi Riong Shah Alam, Pertandingan Koir Shah Alam Shines Edisi Kebangsaan, Persembahan Teater Muzikal dan program Merentas Budaya 3 Kota – (Shah Alam- Surabaya-Hanam) akan berlangsung. Program ini akan dijalankan di Dewan Auditorium MBSA dan di bangunan Teater Shah Alam.
 
Menguruskan aktiviti seni adalah bukan tugas suka-suka. Memperkasakan agenda seni dan budaya adalah bukan tugas yang dipandang enteng oleh MBSA. Pihak MBSA sedaya upaya mempromosi dan mengangkat agenda seni ini demi memberi “Khidmat Terbaik” kepada masyarakat. Program seni dan budaya yang diadakan adalah satu usaha memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat, memberi hiburan yang terkawal dan memberi peluang kepada masyarakat untuk berkarya dan menunjukkan bakat.
 
Akhir kata, semoga 2014 memberi limpahan rahmat buat kita semua. Kita berharap agar keharmonian kita terus terjaga. Kita harus bersama-sama dalam melestarikan kemaslahatan masyarakat tanpa prejudis. Kepada masyrakat di luar sana, sudi-sudilah bertandang di program-program kami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>